ZAMRI, FAZRUL SERTAI HONDA UNTUK MUSIM 2014

February 14, 2014  |  By Malaysian Cubprix

Mohd Zamri Baba dan Ahmad Fazrul Sham bakal menggunakan jentera Honda apabila kedua-dua pelumba berpengalaman itu beralih ke pasukan SCK Racing bagi saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2014.

Zamri dan Fazrul, kedua-duanya akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Mohd Affendi Rosli dan Elly Idzlianizar Ilias di dalam kelas perdana CP130 bersama-sama dua lagi pelumba sedia ada, Norizman Ismail dan Mohd Fitri Ashraf Razali.

Pertukaran ini menyaksikan Zamri dan Fazrul akan menggunakan jentera baharu buat pertama kali sepanjang karier mereka.

Pada masa sama kedua-duanya mengharapkan musim yang lebih cemerlang selepas persembahan kurang memberangsangkan pada musim lepas yang menyaksikan mereka sekadar menghuni tangga ke-12 dan ke-15 keseluruhan.

Pengurus pasukan, Soong Chee Kieong percaya kedua-dua pelumba ini mampu mencapai keputusan baik berdasarkan peengalaman luas yang ada pada mereka.

"Kami seluruh pasukan turut tidak sabar untuk melihat keputusan gandingan baharu ini. Kami percaya Zamri dan Fazrul berupaya membentuk gandingan baik bersama pasukan dan turut membantu kami untuk lebih maju, malah kedua-duanya telah membuktikan mereka antara pencabar utama kejuaraan selama ini," jelasnya.

Selain CP130, perubahan ini turut menyaksikan Zamri beralih ke jentera Honda di dalam saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC).

Zamri, 31, akan bergandingan bersama bekas pemenang MotoGP dan WSBK, Makoto Tamada dan juga pelumba muda negara, Mohd Zaqhwan Zaidi.

"Keputusan beralih ke pasukan baru ini bukanlah satu keputusan yang mudah namun saya berharap tindakan ini dapat mengembangkan lagi karier perlumbaan saya pada masa hadapan," jelas Zamri. 

"Keutamaan saya ketika ini adalah untuk membantu pasukan Boon Siew Honda mengekalkan gelaran juara Asia milik mereka pada tahun ini."