CUB PRIX TERUSKAN MISI MELAHIRKAN PELUMBA BERKALIBER MENJELANG MUSIM BARU

February 11, 2014  |  By Malaysian Cubprix

Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS meneruskan misi untuk melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf antarabangsa dengan pelancaran musim 2014 di Kuala Lumpur hari ini.
 
Semenjak beberapa tahun lepas, sukan permotoran negara dilihat berkembang dengan pesat, sekaligus membuka pelbagai peluang buat pelumba tempatan mengejar impian mereka. Hasilnya, siri perlumbaan motosikal terulung negara ini berjaya menghasilkan 30 pelumba berkaliber yang kini beraksi dalam pelbagai kejuaraan dan program pembangunan pelumba di seluruh dunia.
 
Walaupun jumlah pelumba yang beraksi di luar negara semakin bertambah, saingan musim baru ini dijangka tetap menarik dengan kekosongan yang ditinggalkan bakal diisi para remaja yang tidak sabar melangkah ke dunia perlumbaan profesional melalui kelas perlumbaan satu pengeluar tajaan Honda dan Yamaha.
 
"Program pembangunan pelumba di peringkat akar umbi meningkat ke tahap lebih tinggi tahun ini. Selain perlumbaan satu pengeluar yang telah melahirkan pelumba-pelumba MotoGP negara, juara tiga kali, Ahmad Fuad Baharudin bakal memperkenalkan sebuah lagi program baru bagi membantu menghasilkan lebih ramai pelumba. Maklumat lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat ini," jelas Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, promoter Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.
 
Selain itu, perebutan makhota Cub Prix musim ini turut dijangka lebih rancak dan terbuka terutama dengan perubahan-perubahan melibatkan barisan pelumba-pelumba di dalam padok. Ini termasuklah peralihan juara CP115 2013, Ahmad Afif Amran yang kini melangkah ke kelas CP130, penghijrahan Mohd Zamri Baba bersama pasukan SCK dan Mohd Affendi Rosli yang akan bergandingan bersama Afif setelah beralih ke pasukan berstatus pasukan pengeluar - Yamaha iaitu PETRONAS Yamaha CKJ.
 
Dalam pada itu, pihak promoter Cub Prix turut mengumumkan berita baik dimana peminat-peminat sukan permotoran kini berpeluang menonton siaran langsung kejuaraan sepanjang tahun melalui dua stesen televisyen iaitu stesen televisyen nasional RTM dan stesen televisyen berbayar Astro Arena 801.
 
"Musim ini, setiap perlumbaan akan disiarkan di stesen televisyen nasional, RTM melalui siaran TV1 dan Astro Arena 801. Dengan kerjasama melalui kedua-dua stesen tersebut kami berharap dapat menarik minat syarikat-syarikat korporat untuk turut terbabit di dalam membangunkan bakat-bakat muda negara. Dalam pada itu kami juga berharap dapat menarik minat yang lebih meluas di kalangan masyarakat terhadap sukan permotoran," jelas Ron.
 
Senarai pelumba Cub Prix beraksi di pentas antarabangsa
 
Moto2 - Azlan Shah Kamaruzaman, Hafizh Syahrin Abdullah
 
Moto3 - Zulfahmi Khairuddin, Amirul Hafiq Azmi
 
ARRC SuperSports 600cc - Mohd Zamri Baba, Mohd Zaqhwan Zaidi, Ahmad Fuad Baharudin, Ahmad Afif Amran, Mohd Fitri Ashraf Razali
 
ARRC Underbone 130cc - Mohd Amirul Ariff Musa, Mohd Rozaiman Mohd Said, Mohd Azhar Abdul Jalil, Mohd Adib Rosley, Norizman Ismail, Ahmad Fazrul Sham, Elly Idzlianizar Ilias, Mohd Shariffudin Shamsuddin, Mohd Affendi Rosli
 
Asia Dream Cup - Khairul Idham Pawi, Mohd Harith Farhan, Mohd Qhuwarismi
 
Asia Talent Cup - Nazirul Izzat bin Muhammad Bahaudin (Yamaha 135 Super Series), Muhammad Shafiq Rasol (Wira Category), Muhamad Adam Norrodin (Honda Future One Make Challenge), Muhammad Helmi Azman (Yamaha 135 Super Series ), Fakhrusy Syakirin Rostam (CP115), and Muhammad Shafiq Ezzariq (Yamaha 135 Super Series)
 
Kejuaraan Sepanyol (CEV) Moto3 - Mohd Ramdan Rosli, Mohd Hafiza Rofa, Husni Aizat